Tuesday, June 11, 2019

Kuliah ke 7(Muhammad Hafizuddin B Aminudin)


MENTERJEMAH FRASA

Frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya dua perkataan, ataupun satu perkataan yang berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih (Nik Safiah Karim et al 1996: 416)

Contoh Frasa:

Burung Merpati terbang melayang
Anak kecil itu sedang bermain
Fatimah mengahwini anak Pak Haji Husin
Polis memburu penjenayah di hutan rimba itu

Dalam bahasa Arab frasa dipanggil al-`ibarah, ataupun al-tarkib terbahagi kepada enam iaitu:

1) Frasa Idiomatik / al-tarkib al-istilahi.

Dipanggil al-`ibarah al-istilahiyyah dalam bahasa Arab. Terbina daripada paduan dua perkataan atau lebih dan mangandungi makna khusus yang tidak mungkin boleh disimpulkan daripada makna perkataan-perkataan yang membentuknya dan kerana itulah dikatakan bahawa frasa-frasa ini tidak telus (Yu'il Yusuf ،Aziz et. al 1981: 43;)

Dari segi binaan, frasa idiomatik Arab terbahagi kepada 3 jenis, iaitu:

  1. Frasa kata kerja, seperti أَطلق ساقَيْهِ لِلرِّيح dengan makna جَرَى وهَرَبَ (lari / melarikan diri).
  2. Frasa nama, seperti خَفِيف الظِّلّ dengan makna ظَرِيف مَرِح (riang / ceria).
  3. Frasa sendi, seperti بِرُمَّتِه dengan makna كُلِّه وجَميعه (semua sekali) (Mahmud Isma،il Sini et. al 1996: ط) 


Contoh lain: frasa رَغِبَ عَنْ (tidak suka, tidak gemar, benci) dan  رَغِبَ فِي  (gemar, suka).

Tidak boleh diterjemahkan secara katawi. Ia akan memberikan satu bentuk terjemahan yang bukan sahaja janggal pada pendengaran orang Melayu, bahkan tidak boleh diterima sama sekali. Makna umum عن ialah dari dan daripada, manakala makna في  ialah di, di dalam, dalam dan pada. Jika diterjemahkan secara katawi, akan terhasillah terjemahan seperti suka daripada dan suka dalam. Terjemahan ini janggal sama sekali dan tidak boleh diterima.

 Contoh lain: أخذَ بِيَد (فلان) dengan makna أعانه وساعَده (membantu dan menolongnya), (فلان) طويل اللسان dengan makna بذيء وفاحش في القول (kasar dan buruk kata-kata) dan وَضَعَهُ على الرَفِّ dengan makna أَهْمَلَهُ وتَرَكَهُ (mengabaikannya).


2)Tarkib Idafi.

Kaedah Penterjemahan: boleh diterjemahkan ke bahasa Melayu sebagaimana susunan kata bahasa Arabnya, tanpa penambahan atau perubahan apapun.
وعي المسلمين
kesedaran umat Islam
مراجعة النفس
muhasabah diri
استعمال الكلمة
penggunaan perkataan



3)Tarkib wasfi (Sifah wa Mawsuf)

Contoh 1: السلطان التقليدي
Terjemahan: kekuasaan tradisional

Contoh 2: البيت الكبير
Terjemahan: rumah (yang) besar

Contoh 3: اللغة العربية
Terjemahan: Bahasa Arab

Kaedah terjemahan: boleh ditambah perkataan yang atau digugurkan sahaja.

 Kata dan atau lagi tidak perlu ditambah, kalau kata benda dan kata sifat yang pertama didapati tidak mempunyai hubungan sebagai benda (yang disifati) dan hal yang mensifati. 

Sebagai contoh:

Contoh 4: نظام اخلاقي نظيف
Terjemahannya: sistem etika yang bersih

Contoh 5: النظريات السياسية المختلفة
Terjemahannya: teori politik yang pelbagai

Contoh 6: المجتمعات الإسلامية العادلة
Terjemahannya: masyarakat Islam yang adil

Contoh-contoh tadi mewakili na`at hakiki, manakala na`at sababi pula boleh dilihat dalam contoh-contoh berikut:

Contoh 1: جاء الرجل الفاضل أبوه
Terjemahannya: Seorang lelaki yang ayahnya mulia telah datang

Contoh 2: رأيت هندا الثاقب فكرها
Terjemahannya: Saya melihat Hindun yang berfikiran cerdas / cerdas fikirannya.



4)Taukid.
Kata yang digunakan untuk menghilangkan keraguan orang yang diajak berbicara, atau untuk menguatkan maksud. Ada 5 kata yang sering digunakan, iaitu نفس , عين  ,كل  , جميع dan  عامة.

 Kata نفس وعين diterjemahkan kepada sendiri, كل diterjemahkan kepada masing-masing, جميع وعامة diterjemahkan kepada keseluruhannya / kesemuanya. Lihat contoh: 
Contoh 1: ألقى عميد كلية الأداب نفسه مقالته
Terjemahannya: Dekan Fakulti Sastera sendiri menyampaikan ucapannya.

Contoh 2: الأمة الإسلامية جميعها قلب واحد
Terjemahannya: Umat Islam seluruhnya bersatu hati.

Contoh 3: كان أسلافنا عامتهم يتحدثون عن مفهوم دار الإسلام
Terjemahannya: Majoriti ulama kita dahulu pernah membincangkan konsep Dar al-Islam.



5)Badal wa Mubdal minhu.

 Contoh dalam bahasa Melayu: Perdana Menteri Malaysia yang pertama,Tunku Abdul Rahman merupakan perdana menteri contoh yang digelar bapa kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman adalah badal. Cara menterjemahkan badal boleh dilihat dalam contoh-contoh berikut:

Contoh 1: سافر عميد الكلية الدراسات الاسلامية الأستاذ الدكتور محمد نصران محمد إلى سنغافورة
Terjemahannya:  Dekan Fakulti Pengajian Islam (yakni), Prof. Dr.  Mohd Nasran Mohamad telah pergi ke Singapura.

Contoh 2: طبع الكتاب جزؤه الأول
Terjemahannya: Jilid pertama buku itu telah dicetak. (badal sebahagian)

Contoh 3: سرّني الشارع نظافته
Terjemahannya: Kebersihan jalan itu membuatku gembira.



6)`Ataf wa Ma`tuf Alayh

Frasa ini dapat difahami sebagai golongan dua kata (atau lebih) secara sejajar, dihubungkan dengan kata hubung seperti dan, atau, tetapi, dan sebagainya. Tidak ada masalah besar apabila menterjemahkan tarkib ini.

Lihat contoh 1:  هذه الحركة تحس للدعوة الصهيونية والاستعمارية
Terjemahannya: Gerakan ini mengobarkan propaganda Zionisme dan imperialisme.

Contoh 2: فرّ العدوّ حتى القائد
Terjemahan: Musuh itu telah melarikan diri, bahkan (termasuklah) panglimanya.

Contoh 3: نقل الخبر محمد أو علي
Terjemahan: Muhammad atau Ali yang menyampaikan berita itu

Contoh 4: جاء المستعمرون ثم المستشرقون
Terjemahan: Para penjajah telah datang, kemudian datang pula para orientalis.

Sekiranya kata hubung yang digunakan lebih daripada satu, maka dalam terjemahan, kata hubung yang terakhir sahaja perlu diterjemahkan. Kata hubung yang sebelumnya boleh dipadankan dengan koma sahaja. Lihat contoh:

Contoh 1: وأقدّم الشكر لأصدقائي محمد وعلي وعمر
Terjemahannya: Saya mengucapkan terima kasih kepada sahabat sahabatku; Muhammad, Ali dan Umar.

Contoh 2:  ستحدث في جزيرة العرب الثورة القومية أو المحلية أو المحلية الخاصة
Terjemahan: Revolusi Nasional, revolusi dalaman atau revolusi dalaman khusus akan berlaku di Semenanjung Tanah Arab.

Contoh 3: ي يومنا الآن من المهم أن نفهم الكثير من الأفكار الفلسفية والاجتماعية والسياسية

Terjemahan: Pada masa sekarang, kita perlu memahami pelbagai pemikiran; falsafah, sosial dan politik.

MENTERJEMAH PERIBAHASA

Peribahasa Arab

 Dalam bukunya al-Amthal al-،Arabiyyah, ،Abd al-Majid Qatamisy (1988/1402: 11) menjelaskan bahawa al-mathal ialah: kata-kata yang ringkas padat yang meniti di bibir, betul maknanya, dan keadaan semasa menyerupai keadaan dahulu.

Ia terbahagi kepada tiga jenis, iaitu

1. al-Mathal al-mujaz (peribahasa ringkas), السرّ أمانة, النساء حبائل الشيطان  dan الحرب غشوم (،Abd al-Majid Qatamisy (1988/1402: 28).

2. al-Mathal al-qiyasiy: iaitu cerita atau kesah yang selalu disebut untuk menerangkan sesuatu perkara, atau untuk menjadi bukti kepada sesuatu perkara, dibuat melalui perbandingan atau perumpamaan yang biasanya didasarkan kepada perbandingan dan qiyas.

3. al-Mathal al-khurafiy, iaitu mathal atau peribahasa yang dibina oleh bangsa Arab mengikut bahasa binatang, atau ia dibina berdasarkan cerita-cerita khurafat yang tersebar luas di sekeliling mereka.

Peribahasa Melayu

Peribahasa Melayu terbahagi kepada empat jenis, iaitu perumpamaan, simpulan bahasa, bidalan dan pepatah (Ab. Rahman Ab. Rashid et. al 2000: 69).

1) Perumpamaan:
perbandingan makna yang sangat jelas dan terang. Biasanya ia didahului oleh kata pembanding seperti bagai, laksana, umpama, bak, ibarat, macam, seperti, seolah-olah, dan seakan-akan.
contoh:

Bagai: Bagai ubur-ubur airnya hitam (daripada tingkahlaku dan bahasanya, kita tahu orang itu jahat).
Laksana: Laksana golok kayu (ditetak tak makan, dijual tak laku). Perbandingan ini dibuat untuk menerangkan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah.
Umpama: Umpama enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing (tidak semuafakat; mementingkan diri sendiri)

2) Simpulan bahasa:
 ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada  makna asal yang dibawa oleh perkataan-perkataan tersebut.

Contoh simpulan bahasa ialah seperti makan gaji, bulan madu, kambing keramat (orang yang ditakuti dan bebas melakukan sesuatu sekehendak hatinya), senyum kambing dan sebagainya.

3) Bidalan:
 peribahasa yang dicipta untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar.

Contohnya:
Jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitnya (kerja yang sudah dimulakan hendaklah diselesaikan)
Jangan bijak terpijak, biar bodoh bersuluh (jangan berasa diri bijak tetapi dihina orang, biar bodoh asal suka bertanya, pasti akan berjaya) (Ainon Mohd & Abdullah Hassan 2003: 5).

4) Pepatah/perbilangan:
ungkapan yang berasal-usul daripada pusaka adat resam. Maknanya tidak berubah-ubah dan berfungsi sebagai pedoman hidup. Ia memliki ciri-ciri puisi tradisional Melayu.

Contohnya:

Nak kaya berdikit-dikit, nak ramai berkabur urai (jimat cermat ialah tangga kejayaan, murah hati ialah tangga tuah).

Teknik Menterjemah Peribahasa

1. Peribahasa sumber digantikan dengan peribahasa yang seperti dalam bahasa sasaran.

Contoh:

  •  جزاه جَزَاءَ سِنِمَّار diterjemahkan kepada susu dibalas tuba.
  •  قَبْلَ الرَّمْيِ يُراشُ السَّهْمُ  diterjemahkan kepada sediakan payung sebelum hujan.


2. Menggunakan teknik pinjam terjemah.

Contoh:
  •  ماءُ الوجه  diterjemahkan terus kepada air muka.
  •  عَيْنُ القلبِ diterjemahkan kepada mata hati
  •  شهر العسل  diterjemahkan kepada bulan madu.
  • حرب باردة  diterjemahkan kepada perang dingin.
  • دودةُ الكتبِ  diterjemahkan kepada ulat buku.


3. Teknik memperjelas makna.

Contoh:
  • Sweetheart diperjelas menjadi kekasih diterjemahkan kepada حبيب/حبيبة
  • Airline diperjelas menjadi syarikat penerbangan yang dalam bahsa Arabnya dipanggilشركة خطوط جوّية/هوائية


4. Proses gantian peribahasa (ungkapan tidak figuratif digantikan dengan peribahasa atau ungkapan yang figuratif).

Contoh:

  •  هديّة تذكارية  diterjemahkan kepada tanda mata / cendera hati.
  •   حيض diterjemahkan kepada haid / datang bulan.

Langkah seterusnya

Untuk menghindarkan kesalahan terjemah:
1. Bertanya terus kepada penutur asli bahasa sumber.
2. bertanya kepada orang yang pernah tinggal dan bergaul dengan masyarakat sumber.
Gunakan kamus

Kamus yang boleh membantu:

عبد المجيد عابدين . 1956؟. الأمثال في النثر العربي القديم . القاهرة: دار مصر للطباعة .
محمد علي أبو حمادة . 1404/1984. الأمثال العامية الفلسطينية . د.م : مكتبة المحتسب .
الشيخ أبراهيم بن السيد علي الأحدب الطرابلوسي الحنفي . د. ت.  فرائد اللاعال في مجمع الأمثال. د. م : د . ن .
علي أكبر دخدا . 1363هـ . امثال حكم . نـ 1-4 . طهران : شافخانا يي سيفهر

Terima kasih kerana sudi membaca dan saya mendoakan kalian di berkati allah sentiasa dan dimudahkan allah dalam setiap urusan kalian

No comments:

Post a Comment