Wednesday, May 1, 2019

K10 LARAS BAHASA (AMIR NAJMI)

Assalamualaikum ,, hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai laras bahasa. ayuh kita lihat nota di bawah ini. Pada hari kuliah ini Dr. Maheram telah belanja kami 3 buah kek secret recipe sempena hari jadi 5 orang kawan kami. Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ustazah bermurah hati semoga ustazah mendapat ganjaran yang setimpal. Ameen.



LARAS BAHASA

TAKRIF

Takrif Bahasa: Satu sistem lambang pertuturan yang arbitrari dan digunakan oleh manusia untuk berhubung.

Takrif Laras: Dalam sosiolinguistik, ragam bahasa yang timbul akibat penggunaan yang pelbagai diistilahkan sebagai laras.

Takrif Laras Bahasa: Kajian yang dibuat oleh ahli linguistik dan sosiolinguistik menimbulkan beberapa pandangan tentang konsep dan takrif laras bahasa. Kesimpulannya, laras bahasa ialah ciri-ciri khusus dalam penggunaan bahasa mengikut bidang dan situasi penutur ketika berbahasa, sama ada secara lisan atau tulisan.

PERBEZAAN LARAS

Boleh dibezakan melalui ciri-ciri:

1) CIRI-CIRI LINGUISTIK
2) CIRI-CIRI KEPERIHALAN PERISTIWA BAHASA

CIRI-CIRI LARAS BAHASA

1) CIRI-CIRI LINGUISTIK:
- Bermaksud unsur-unsur sistem bahasa itu, iaitu aspek bunyi, perkataan, frasa dan ayatnya.
- Aspek bunyi – nada suara (drama, ucapan dll).
- Aspek perkataan – perkataan khusus berdasarkan bidang, unsur kolokasi (dua perkataan yang berkaitan), perkataan pinjaman. 
- Aspek ayat, dari segi binaan, susunan, dan panjang pendek.

2) CIRI-CIRI KEPERIHALAN PERISTIWA BAHASA:
- Terbahagi kepada dua jenis: Situasi luaran dan situasi persekitaran.
- Situasi luaran ialah latar belakang sosial dan kebudayaan sesuatu masyarakat bahasa.
- Situasi persekitaran ialah aspek-aspek yang terlibat dalam penggunaan bahasa. Empat faktor yang ketara ialah: 1) Cara penyampaian (lisan, bertulis, bahasa isyarat dll). 2) Hubungan sosial dan peribadi antara pengguna bahasa. 3) Bahan yang diperkatakan. 4) Fungsi-fungsi sosial perlakuan bahasa (rasmi/tak rasmi).

FORMAT LARAS

Laras yang mempunyai format tersendiri adalah seperti yang berikut:
- Laras undang-undang (akta).
- Laras ucapan.
- Laras iklan (tender).
- Laras laporan berita dalam akhbar.

JENIS LARAS BAHASA

1) Laras bahasa biasa.
- Tidak melibatkan sebarang bidang ilmu atau konteks yang khusus.
- Tiada istilah teknikal dan struktur ayatnya mudah, ringkas dan padat.
- Laras bahasa biasa formal digunakan dalam situasi rasmi sahaja. Contohnya: Muhammad bin Abdullah, aku nikahkan dikau dengan Sumayyah binti Husin dengan mas kahwinnya RM4000 tunai.
- Laras bahasa biasa tidak formal. menggunakan ciri-ciri bahasa basahan. Contohnya: Pembeli: Ikan sendiri bela, sendiri tangkap, sendiri jual, apa fasal banyak mahal? Penjual:Encik mahu ingat, bela punya ikan mahu kasi makan. Sekarang ikan punya makan banyak mahal. Lagi, saya bukan tangkap sendiri, saya upah orang.

2) Laras bahasa perniagaan/iklan.
- Berbentuk pemberitahuan fakta.
- Maklumat disampaikan dengan ringkas tetapi terperinci.
- Ayat ringkas dan pendek – banyak menggunakan kata adjektif.
- Bahasa yang digunakan bersifat imaginatif dan kreatif. 
- Iklan dihasilkan dengan beberapa cara:
      Slogan – Gaya, Mutu dan Keunggulan.
      Kaedah penyataan – Lot banglo untuk dijual.
      Perkaitan konsep – Siti Nurhaliza dan Pantene.
      Perisytiharan – Memperkenalkan Proton Pesona.
      Kaedah umpan – wang tunai RM5000 menunggu kunjungan anda.
      Mesra – TV9 dekat di hati.
      Bandingan – Feb lebih bersih dan harum.
      Gesaan – Cepat, dapatkan naskhah anda hari ini.
      Pertanyaan – menghadapi masalah perut buncit? Slim World!

3) Laras bahasa sains.
- Laras bahasa ilmiah dan bersifat formal serta tidak menggunakan bahasa basahan.
- Bersifat intelektual, saintifik, formal dan objektif. Maklumat yang diberikan berdasarkan kajian dan fakta.
- Mementingkan kejelasan dan ketepatan fakta.
- Banyak menggunakan istilah sains dan teknikal

4) Laras bahasa media massa.
- Bahasa yang paling mudah diterima.
- Bahasa yang mudah, gaya tulisan jelas, dan ketepatan isi tulisan.
- Ringkas, tepat dan padat.
- Tidak mementingkan kata hubung dan tatabahasa.
- Tidak menggunakan istilah teknikal dan khusus.
- Bersifat melaporkan sesuatu peristiwa yang berlaku.
- Mengandungi judul dan teks.

5) Laras Bahasa Rencana.
- Bersifat umum.
- Digunakan untuk menyampaikan kepelbagaian idea tentang sesuatu isu.
- Mudah difahami.
- Gaya bahasa penulisan menarik yang menjurus kepada tajuk rencana.
- Bersifat melaporkan sesuatu kepada pembaca secara umum ataupun secara terperinci.

6) Laras bahasa undang-undang.
- Teks yang berkaitan dengan perundangan.
- Mengandungi prinsip undang-undang dan berkait dengan akta – terbahagi kepada bahagian dan seksyen.
- Menggunakan istilah undang-undang dan istilah yang dipinjam daripada bahasa Inggeris.
- Makna kosa yang digunakan berdasarkan interpretasi.

7) Laras bahasa agama.
- Membincangkan isu agama.
- Menggunakan istilah agama yang dipinjam daripada bahasa Arab.
- Terdapat petikan al-Quran dan al-Hadith.
- Struktur ayat yang digunakan banyak dipengaruhi oleh struktur ayat Arab.
- Terdapat tamsil ibarat (kias ibarat) yang bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai.

8) Laras bahasa sukan.
- Maklumat berkait dengan kegiatan sukan.
- Bahasanya ringkas, bersahaja dan jelas.
- Menggunakan istilah sukan dan bahasa/kosa kata yang mudah difahami.

9) Laras bahasa sastera.
- Bentuk bahasa yang terhasil daripada cetusan imaginasi dan pengalaman penulisan.
- Bersifat imaginatif dan figuratif (kiasan).
- Mementingkan pemilihan diksi yang berkesan, istilah-istilah khusus yang berkait dengan sastera.

10) Laras bahasa ekonomi.
- Berbentuk ilmiah.
- Istilah-istilah teknikal.
- Tidak mementingkan struktur ayat.
- Bersifat formal.
- Mementingkan susunan maklumat yang disampaikan dengan jelas dan eksplisit .
- Setiap fakta dapat dihuraikan berdasarkan bukti dalam bentuk data dan statistik.

11) Laras bahasa akademik.
- Digunakan dalam bidang ilmiah.
- Bersifat formal dan objektif.
- Gaya bahasa – matang dan keintelektualan (hujah, tepat dan berkesan).
- Bersifat khusus dan sukar difahami.
- Mementingkan kesempurnaan.

kesimpulan

- Laras penting dan perlu diberikan perhatian. 
- Membantu menghasilkan penulisan dan penterjemahan yang boleh difahami oleh khlayak pembaca.
- لكل مقام مقال 

Sekian ,, terima kasih.

Disediakan Oleh: Amir Najmi bin Ahmad Noh (A171808)







No comments:

Post a Comment