Monday, May 27, 2019

K14 TERJEMAHAN TEKS SASTERA - PUISI (AMIR NAJMI)


TERJEMAHAN TEKS SASTERA - PUISI

Definisi Teks Sastera: Sebarang teks yang menggunakan bahasa dengan gaya penulisan yang kreatif, melalui cara-cara stilistik, dengan tujuan khusus untuk menghasilkan satu teks yang bersifat estetik. (Lalita Sinha & Siti Aminah Hamdan 1994: 892)

Qudamat ibn Ja،far mendefinisikan al-syi،r sebagai: قول مَوْزون مُقَفَّى يدل على معنى  (Kata-kata yang berwazan, berqafiyah, dan menunjukkan makna) (Muhammad ،Abd al-Mun،im Khafaji t.th: 64). 

CIRI-CIRI PUISI

Puisi mengungkapkan tentang suatu perkara dengan emosi dan perasaan yang kuat, dan dengan keterpengaruhan yang mendalam, ia memandang kehidupan dengan pandangan yang tidak mungkin difahami dan diungkapkan dengan hanya sekadar mengikut mantiq atau berdasarkan bukti dan dalil semata-mata.

Kata-kata yang digunakan dalam puisi perlu dipilih dengan betul dan teliti. Sekiranya topik yang dibicarakan menyangkut tema ghazal (cinta), maka perkataan yang dipilih seharusnya lembut, halus dan sesuai dengan tema tersebut. Ciri pertama dan kedua ciri ini dipersetujui sebulat suara.

Puisi disusun mengikut susunan muzik atau bunyi yang khusus, yang diungkapkan melalui wazan/rima.

Puisi Arab terikat dengan qafiyah,  terutamanya puisi klasik. Walaupun begitu, pada zaman moden ini muncul sekumpulan penyair baru, iaitu penyair al-syi،r al-hurr (sajak bebas) yang terkenal dengan nama golongan Apollo. Mereka terpengaruh dengan puisi Barat.   

Puisi lirik (terutamanya dalam bahasa Arab, Parsi, Turki, Urdu dan Pashto) yang umumnya bertemakan cinta dan arak, biasanya mengandungi lima hingga dua belas bait yang kesemua rimanya sama (Glosari bahasa dan kesusasteraan Arab 2002: 130).

PENTERJEMAH PUISI

Melengkapkan diri dengan semua kelayakan yang perlu ada pada seorang penterjemah.
Memiliki bakat kepenyairan yang tinggi.
Tahu menikmati dan menghayati puisi – karya sastera.
Meminati puisi.
Lagi baik, kalau dia juga seorang panyair.

KAEDAH MENTERJEMAH PUISI

Bassnett-McGuire (1980: 81-82) memetik pendapat Andre Lafevere yang mengemukakan 7 cara untuk menterjemahkan puisi, iaitu: 

i). Terjemahan fonemik (Phonemic translation): kaedah ini cuba mencipta kembali bunyi yang terdapat dalam teks asal ke dalam teks sasaran, dan pada masa yang sama cuba menghasilkan satu parafrasa yang boleh diterima.

ii).  Terjemahan literal (Literal translation): teks asal diterjemahkan secara kata demi kata yang mengakibatkan karya terjemahan yang terhasil tidak boleh difahami dengan baik, malah isi dan sintaksis asal juga turut terpesong. 

iii). Terjemahan metrikal / polairama (Metrical translation): kriteria utama dalam kaedah ini ialah mencipta semula metre puisi asal dalam puisi terjemahan. Andre Lefevere menyimpulkan bahawa kaedah ini sama sahaja dengan kaedah literal, iaitu ia menfokuskan satu aspek sahaja sedangkan banyak lagi aspek lain yang perlu diberi perhatian.

Menterjemahkan puisi ke bentuk prosa: Andre Lefevere memutuskan bahawa akan berlaku penyelewengan atau pemesongan dari segi maksud atau makna yang terkandung dalam teks asal, nilai komunikatif, dan sintaksis, walaupun pemesongan atau penyelewengan itu kurang sedikit daripada apa yang terhasil ketika kaedah metrikal atau literal digunakan.

Terjemahan berima (Rhymed translation): Apabila kaedah ini digunakan, penterjemah akan terjebak dalam metre dan rima.

vi) Terjemahan ke bentuk rangkap tanpa rima (Blank verse translation): Mengikut kaedah ini, penterjemah akan menterjemahkan teks asal ke bentuk rangkap tanpa rima, iaitu ke bentuk sajak bebas. Penterjemah akan berhadapan dengan masalah mencari atau memilih struktur yang sesuai. Walau bagaimanapun, tahap ketepatan terjemah adalah lebih tinggi.

vii). Interpretasi (Interpretation).   

SAFA’ KHALUSI – Kaedah menterjemah

Safa’ Khalusi (2000) mengatakan bahawa puisi boleh diterjemahkan secara:
Terjemahan tafsiriyyah (parafrasa), 
Terjemahan talkhisiyyah (precis-translation), dan 
Terjemahan wazaniyyah (metrikal).

Terjemahan tafsiriyyah (parafrasa) dilakukan dengan menterjemahkan teks asal ke bentuk prosa. Penterjemah dibenarkan menterjemahkan teks asal dengan membuat sedikit peluasan (penjelasan) untuk mengelakkan atau untuk menjelaskan kekaburan dan ketaksaan yang terkandung dalam teks tersebut. Biasanya penterjemah akan menggunakan bahasa yang mudah untuk menjelaskan apa yang tidak difahami oleh pembaca / khalayak. 

Terjemahan talkhisiyyah (precis-translation) merupakan terjemahan yang menjaga isi teks asal dengan mengekalkan ungkapan dan ayat-ayat inti/penting. Maksudnya, ayat-ayat yang tidak penting boleh digugurkan. 

Terjemahan wazaniyyah (metrikal) Merupakan terjemahan yang dilakukan berdasarkan wazan teks asal. Maknanya, penterjemah akan menterjemahkan teks asal (misalnya puisi  Arab) ke  bentuk puisi juga dalam bahasa sasaran dengan cuba memakaikan wazan teks asal itu kepada teks sasaran. 

KESIMPULAN

Sebelum menterjemah puisi, penterjemah perlu memahami dahulu puisi tersebut, menganalisis makna dan mesej yang ingin disampaikan, kemudian memilih kaedah yang sesuai dengan bakat dan kemampuannya.

Sekian ,, Terima kasih.
Disediakan oleh: Amir Najmi Bin Ahmad Noh (A171808)

No comments:

Post a Comment